friendship Never ends

Clip Art

SUMPAH LAKNAT DALAM AL-QURAN


Mubahalah ialah masing-masing pihak diantara orang-orang yang berbeda pendapat mendoa kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, agar Allah menjatuhkan la’nat kepada pihak yang berdusta.
Dalam sirah nabi peristiwa mubahalah pernah berlaku, Nabi mengajak utusan Nasrani Najran bermubahalah tetapi mereka tidak berani dan ini menjadi bukti kebenaran Nabi Muhammad s.a.w.
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan seorang pelayan dan majikan datang kepada Rasulullah SAW. Lalu Baginda mengkehendaki kedua-duanya mengadakan sumpah pengutukan. Tetapi salah seorang daripada keduanya berkata: “Janganlah engkau mengeluarkan sumpah kutukan itu. Demi Allah, sekiranya dia Nabi yang benar lalu dia meminta kita mengadakan sumpah kutukan, nescaya kita tidak akan mendapat keuntungan selama-lamanya”.
Perhatikan ayat 59 – 63 surah Ali ‘Imran seperti maksudnya di bawah:
59. Sesungguhnya misal (penciptaan) Isa di sisi AllAh, adalah seperti (penciptaan) Adam. Allah menciptakan Adam dari tanah, kemudian Allah berfirman kepadanya: “Jadilah” (seorang manusia), maka jadilah dia.
60. (Apa yang telah Kami ceritakan itu), itulah yang benar, yang datang dari Tuhanmu, karena itu janganlah kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu.
61. Siapa yang membantahmu tentang kisah Isa sesudah datang ilmu (yang meyakinkan kamu), maka katakanlah (kepadanya): “Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, diri kami dan diri kamu; kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya la’nat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang dusta.
62. Sesungguhnya ini adalah kisah yang benar, dan tak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Allah; dan sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana .
63. Kemudian jika mereka berpaling (dari kebenaran), maka sesunguhnya Allah Maha Mengetahui orang-orang yang berbuat kerusakan.
Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: “Dalam ayat-ayat yang lalu Allah SWT menerangkan keadaan Nabi Isa a.s. sejak daripada kandungan dan apa yang berlaku kepadanya daripada mukjizat dan bagaimana ia adalah seorang Nabi yang soleh serta hamba Allah”.
Sebab nuzul ayat ke-59
Ayat ini diturunkan kerana wujud perdebatan antara rombongan kaum Nasrani dengan Nabi SAW. Rombongan tersebut berkata kepada Nabi SAW: “Apa sebab tuan mengata-ngata tuan kami? Nabi SAW menjawab: “Apa yang telah saya katakan?” Mereka berkata: “Tuan mengatakan Nabi Isa a.s itu hamba Allah SWT!”
Nabi SAW menjawab: “Benar! Dialah hamba Allah dan utusan-Nya Allah SWT pertaruhkan kalimat-Nya kepada anak dara yang tidak berkahwin iaitu Maryam”.
Mendengar jawapan Rasulullah SAW, mereka marah lalu berkata: “Adakah tuan pernah melihat seorang yang dilahirkan dengan tidak berayah? Kalau tuan orang yang benar tunjukkanlah kepada kami satu contoh”.
Maka Allah SWT turunkan ayat ini, bahawa sesungguhnya Isa a.s yang dijadikan oleh Allah SWT dengan cara yang mereka anggap pelik kerana ia terjadi dalam keadaan tidak berayah. Tidaklah kurang peliknya dengan misalan Adam AS dijadikan tanpa ayah dan ibu.
Adam a.s dijadikan Allah SWT daripada tanah. Kalaulah mereka sudah mengakui tentang kejadian Adam itu tidak pelik, maka tidak sepatutnya mereka mengingkari tentang kejadian Nabi Isa pula. Kerana jika Allah SWT menghendaki terjadinya sesuatu, Ia akan mengatakan: “Jadilah engkau!” Maka jadilah ia.
Iktibar dan fiqh ayat:
  1. Al-Maraghi berkata: “Ayat ini mengandungi perumpamaan yang sangat jelas, kerana titik persamaan kedua-dua belah pihak disebutkan dengan terang, sehingga dapat menghilangkan keraguan musuh Allah SWT. “Ini disebabkan orang yang mengingkari kejadian Nabi Isa tanpa ayah, sedangkan pada masa yang sama, dia mengakui kejadian Nabi Adam AS yang tidak berayah dan beribu, yang merupakan suatu perkara yang seharusnya tidak terjadi dan tidak dapat diterima oleh akal”.
  2. Hamka berkata: “Ayat ini membantah kedua pihak. Pertama yang tidak percaya sama sekali bahawa Nabi Isa lahir tidak dengan perantaraan bapa, sehingga dituduh dengan pelbagai macam tuduhan oleh orang Yahudi. Padahal mereka pun percaya Nabi Adam dijadikan daripada tanah tidak dengan bapa tidak dengan ibu. Orang zaman sekarang terlalu terpesona dengan teori Darwin.
  3. “Yang kedua ialah penyadaran bagi orang oleh kerana Nabi Isa tercipta dengan perantaraan Roh Allah, iaitu kalam-Nya yang menjelma menyerupai diri sebagai manusia, sebab itulah mereka tuhankan dia. Kerana perkara luar biasa itu dia dituhankan nescaya Nabi Adam yang terlebih dahulu dituhankan”.
Sebab nuzul ayat 60
Adalah diriwayatkan, bahawasanya Nabi SAW mengajak orang-orang Nasrani Najran itu beribtihal atau mubahalah, yakni berlaknat-laknatan dan sesiapa yang berdusta dialah yang ditimpa laknat. Tetapi mereka enggan.
Iktibar dan fiqh ayat:
  1. Al-Maraghi berkata: “Hendaklah kamu tetap teguh dengan keyakinan dan ketenanganmu dalam menuju kebenaran serta menjauhkan diri daripada sebarang keraguan”.
  2. Muhammad Quraish Shihab berkata: “Ayat ini menegaskan apa yang ditegaskan oleh ayat yang lalu bahawa apa yang telah Allah SWT wahyukan kepadamu ini wahai Muhammad itulah kebenaran mutlak. “Kemutlakan itu difahami daripada bentuk makrifat, yakni huruf alif dan lam yang menghiasi kata hak. Kebenaran mutlak itu datang dari Tuhanmu Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kasih padamu”.
  3. Hamka berkata: “Ayat ini membantah kepercayaan yang ganjil itu. Lalu dijelaskan bahawa Allah Maha Kuasa telah menciptakan Nabi Adam dari tanah tidak dengan perantaraan bapa dan ibu. “Datangnya Nabi Adam ke dunia bukanlah mempusaka dosa dan lahirnya Nabi Isa bukan pula penebus dosa melainkan sebagai Rasul-rasul Allah yang lain juga. Diutus sebagai pembimbing manusia menuju ke jalan yang diredai-Nya”.
Sebab nuzul ayat 61
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan seorang pelayan dan majikan datang kepada Rasulullah SAW. Lalu Baginda mengkehendaki kedua-duanya mengadakan sumpah pengutukan. Tetapi salah seorang daripada keduanya berkata: “Janganlah engkau mengeluarkan sumpah kutukan itu. Demi Allah, sekiranya dia Nabi yang benar lalu dia meminta kita mengadakan sumpah kutukan, nescaya kita tidak akan mendapat keuntungan selama-lamanya”.
Lalu kedua-duanya berkata kepada Nabi SAW, “Kami akan memberi tuan apa yang tuan minta”. Oleh itu, kirimkanlah bersama kami seorang lelaki yang tuan amanahkan.”
Lalu Nabi SAW bersabda: “Berdirilah engkau wahai Abu Ubaidah”. Tatkala dia sudah berdiri lalu Baginda bersabda: “Inilah orang kepercayaan daripada umat ini (Islam)”.
Abu Nu’aym meriwayatkan dalam kitab al-Dalail, daripada Ibn Abbas, “terdapat lapan orang Nasrani Najran datang kepada Rasulullah SAW. Antara mereka, terdapat seorang pelayan dan majikan. Lalu Allah SWT berfirman, Katakanlah, mari…, lalu mereka berkata, “Berilah kami tempoh tiga hari”.
Mereka kemudiannya pergi kepada kaum Yahudi Quraizah, Nadr dan Qainuqa’. Lalu mereka memberi isyarat agar mengadakan perdamaian dan jangan mengadakan sumpah saling mengutuk dengan Baginda. Mereka berkata, “Dialah Nabi yang kita temui di dalam Taurat kerana itu adakanlah perdamaian dengan Baginda dengan bayaran sebanyak 1,000 helai pakaian dibayarkan pada bulan Safar dan 1,000 lagi pada bulan Rejab serta beberapa dirham”.
Diriwayatkan bahawa Nabi SAW memilih Fatimah, Ali dan kedua-dua puteranya untuk mengerjakan mubahalah ini. Baginda kemudiannya keluar bersama mereka, sambil bersabda, “Jika aku membaca doa, hendaklah kamu mengaminkannya”.
Ibn Asakir meriwayatkan daripada Ja’far daripada bapanya, bahawa ketika ayat ini turun, beliau membawa Abu Bakar r.a bersama seorang anaknya, Umar r.a., bersama seorang anaknya, dan Uthman r.a bersama seorang anaknya. Tidak diragukan daripada ayat ini orang akan memahami bahawa Nabi SAW menyuruh golongan Ahli Kitab yang memperdebatkan peristiwa Nabi Isa dengan kaum mukmin agar mengumpulkan kaum lelaki, wanita dan anak-anak daripada kalangan mereka.
Nabi SAW juga mengumpulkan orang yang beriman, kaum lelaki, wanita dan anak-anak untuk melakukan doa mubahalah, iaitu memohon laknat ditimpakan kepada orang yang berdusta dalam persoalan Nabi Isa ini.
Iktibar dan fiqh ayat:
  1. Al-Maraghi berkata: “Dalam ayat di atas perkataan anak-anak soleh dan isteri disebut terlebih dahulu daripada dirinya sendiri. Padahal seseorang sentiasa memikirkan nasib anak dan isterinya, sebenarnya adalah untuk menyatakan betapa Nabi SAW telah berasa aman, memiliki kepercayaan yang penuh dan keyakinan yang teguh dengan kebenaran misinya, hinggakan Baginda menaruh kepercayaan sesuatu misbah yang tidak diinginkan akan menimpa mereka. “Ayat ini dinamakan ayat mubahalah, ertinya berdoa agar musuhnya mendapat laknat Allah”.
  2. Muhammad Quraish Shihab berkata: “Ayat ini diletakkan setelah ajakan memanggil anak dan isteri dan sebelum bermubahalah. Ini memberi isyarat bahawa Nabi SAW masih memberi kesempatan waktu yang relatif tidak singkat kepada yang diajak itu, untuk berfikir menyangkut soal mubahalah, kerana akibatnya sangat fatal”.
  3. Hamka berkata: “Mubahalah ialah bersumpah yang berat. Di dalam sumpah itu dihadirkan anak dan isteri dari kedua pihak yang bersangkutan, lalu diadakan untuk mempertahankan kebenaran masing-masing. “Jika kedua belah pihak masih tidak mengalah dan bertolak ansur maka tunggulah laknat-Nya kepada siapa yang masih mempertahankan pendirian yang salah. Inilah ajakan Rasulullah SAW kepada utusan-utusan Najran yang mempertahankan Nabi Isa adalah putera Allah SWT. “Ayat mubahalah adalah pembuktian antara yakin dan teguhnya orang Islam pada iman dan kepercayaannya. Keyakinan Tauhid adalah pegangan seluruh keluarga untuk mempertahankan diri hidup atau mati demi menegakkan kebenaran”.
Iktibar dan fiqh ayat ke-62:
  1. Al-Qurtubi berkata: “Isyarat pada sesungguhnya ini, kembali kepada al-Quran dan apa yang terkandung daripada kisah-kisah. Di namakan kisah kerana segala makna ikut mengikuti antara satu sama lain”.
  2. Sheikh Sya’rawi berkata: “Jika datang kisah daripada tuhan yang satu, maka kita yakin bahawa tiada lagi di sana Tuhan yang lain mendatangkan dengan kisah-kisah yang lain”.
  3. Al-Sonhadji berkata: “Ayat ini dijadikan hujah menolak dakwaan orang-orang Nasrani yang mengatakan, Allah SWT itu Tuhan yang ketiga dari tiga serangkai. Dan sesungguhnya Allah itu adalah Yang Maha Perkasa lagi Bijaksana. Yakni tidak ada yang lebih perkasa dan lebih bijaksana daripada-Nya, dan tidak ada yang layak untuk menandingi-Nya selain Allah sendiri”.
Iktibar dan fiqh ayat ke-63:
  1. i. Ibn Kathir berkata: “Allah menutup ayat ini dengan menjelaskan siapa yang menyeleweng daripada kebenaran kepada kebatilan maka dialah yang sebenarnya merosakkan di muka bumi. Sedangkan Allah Maha Mengetahui dan pasti membalas perbuatan mereka kerana Dia Maha Berkuasa atas segala-galanya.
  2. ii. Hamka berkata: “Tasamuh (toleransi) beragama ini adalah dasar dari dakwah Islam. Yang menentukan petunjuk bagi manusia , bukanlah manusia melainkan Allah SWT. Tetapi orang tidaklah boleh berhenti mengadakan dakwah. “Suatu toleransi tidak disertai dengan perluasan dakwah akan menuju kehancuran. Kita harus berani mengikut Rasulullah SAW, berani berhadapan dengan pemeluk agama yang lain dengan mengadakan mubahalah. Sesungguhnya keberanian itu tidak akan wujud jika kita tidak mengerti agama kita sendiri”.
Berdasarkan ayat-ayat di atas jelas betapa rosaknya golongan Yahudi dan Nasrani apabila mempertuhankan Nabi Isa sedangkan apabila di ajak bermubahalah mereka begitu gentar dan takut seperti yang terjadi kepada golongan Nasara Najran.
Semoga Allah memelihara kita daripada kesesatan dan menjadikan kita sentiasa istiqamah. Amin.

LIDAH TENTUKAN LANGKAH MANUSIA KE SYURGA ATAU NERAKA


KATA Imam al-Ghazali, lidah antara nikmat Allah SWT yang besar dan antara ciptaan Tuhan yang amat halus dan ganjil. Lidah mempunyai bentuk yang indah, kecil dan menarik.
Selanjutnya Imam al-Ghazali berkata: “Keimanan dan kekufuran seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah. Lidah mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa besar pula. Anggota tubuh yang paling derhaka kepada manusia ialah lidah. Sesungguhnya lidah alat perangkap syaitan yang paling jitu untuk menjerumuskan manusia.”
Daripada kata Imam al-Ghazali itu jelas menunjukkan kepada kita besarnya peranan lidah dalam kehidupan manusia kerana lidah kita boleh masuk syurga dan kerana lidah juga boleh dihumban kita ke neraka.
Oleh kerana lidah boleh membawa kebaikan dan keburukan dalam hidup manusia, kita perlu sentiasa berwaspada menggunakan lidah sewaktu bertutur kata. Dengan kata lain, kita hendaklah bijak menggunakan lidah apabila bercakap.
Sekiranya kata yang kita ucapkan boleh menyebabkan orang yang mendengarnya sakit hati atau terguris, ia boleh mendatangkan keburukan kepadai kita. Pepatah ada mengatakan kerana mulut badan binasa.
Justeru, sebelum kita berkata sesuatu hendaklah berfikir terlebih dulu. Kita gunakan lidah untuk berkata sesuatu yang baik dan tidak sia-sia atau lebih baik lagi kita diam. Itu lebih memberi manfaat daripada kita berkata perkara yang boleh mendatangkan dosa. Sesungguhnya orang beriman tidak bercakap perkara yang sia-sia dan tiada berfaedah.
Daripada Abu Hurairah diriwayatkan Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya: “Siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau ia diam.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah benci kepada orang yang jelik budi pekertinya serta kotor lidahnya.” (Hadis riwayat Imam Tirmidzi)
Menurut Rasulullah SAW ada tiga jenis manusia, iaitu yang mendapat pahala, selamat daripada dosa dan binasa.
Orang yang mendapat pahala sentiasa mengingati Allah, berzikir, mengerjakan solat dan sebagainya. Orang yang selamat daripada dosa ialah mereka yang diam, manakala orang yang binasa sentiasa melakukan perkara mungkar, maksiat dan tidak mengawal lidahnya dengan baik.
Kita dapat mengenal peribadi seseorang daripada percakapannya. Orang yang tinggi akhlak selalunya bercakap hal yang baik saja, tidak menyakiti hati orang lain, tidak mengucapkan perkataan kotor dan tidak banyak bercakap. Mereka mengawal lidah sebaik-baiknya.
Dalam hadis yang diriwayatkan Tirmidzi dan Ibnu Majah, Abu Hurairah menceritakan apabila Rasulullah SAW ditanya sebab terbesar yang membawa seseorang masuk syurga, Rasulullah menjawab: “Takwa kepada Allah dan akhlak yang baik.” Apabila ditanya pula sebab terbesar yang membawa manusia masuk neraka, maka Rasulullah menjawab, “Dua rongga badan iaitu mulut dan kemaluan.”

CABARAN AQIDAH PADA MASA KINI


Kita meyakini Aqidah Islam. Manhaj aqidah yang kita anuti ialah manhaj Aqidah Ahlus-Sunnah wal Jamaah kerana manhaj itu menepati Aqidah yang asli dari al-Quran dan as-Sunnah. Aqidah Islam adalah keyakinan yang bersumberkan ilmu/makrifah. Ia sebagaimana diungkapkan oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali “Iman ialah makrifah yang menjadi keyakinan”. Ia bukan keyakinan yang membuta tuli, tetapi keyakinan yang bersumber kepada ilmu. Kerana itu aqidah Islam adalah aqidah ilmu.
Ilmu di sisi ulamak Islam bukan semata-mata maklumat kerana maklumat ada yang benar dan ada yang salah, ada yang meyakinkan dan ada yang semata/mata sangkaan atau waham. Ilmu dalam Islam adalah suatu maklumat yang saheh dan benar. Dalam mengungkapkan ilmu, para ulamak mendefinisikannya sebagai “Mengetahui sesuatu menepati apa yang sebenarnya”. Untuk mencapai hakikat ilmu sebegini, sumber ilmu itu amat penting. Islam menetapkan sumber ilmu yang diakui datang dari tiga sumber;
  1. Wahyu
  2. Aqal; analisis, pengamatan.
  3. Pancaran nur Ilahi
Bagi bidang agama (aqidah, amalan, hukum-hakam dan sebagainya), sumber ilmu yang muktamad ialah wahyu iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Adapun akal, hanyalah berfungsi untuk memahami wahyu, menyimpul/mengistibat hukum darinya dan mengesan illah dan hikmahnya. Ilmu agama tidak diserah kepada aqal semata-mata, apatahlagi kepada waham, sangkaan atau perasaan. Adapun bidang keduniaan, Islam menyerahnya kepada aqal. Manusia digalakkan oleh Islam untuk menggunakan aqalnya seluas mungkin tetapi hendaklah selari dengan wahyu. Kehadiran wahyu bukan untuk mengongkong akal, tetapi untuk memandunya kerana akal walaupun ia anugerah yang hebat namun ia mempunyai kelemahan yang perlu ditampung oleh wahyu.
Apabila kita berdepan dengan kecelaruan aqidah yang semakin banyak berlaku di tengah masyarakat Islam di Malaysia hari ini, timbul tanda-tanya; kenapa ia berlaku dan apa puncanya? Kita boleh senaraikan kecelaruan aqidah yang dihadapi oleh kita hari ini seperti berikut;
  1. Semakin menularnya fahaman Syiah; kalau dulu hanya ada segelintir, tetapi sekarang mereka telah ada jamaah sendiri. Jika dulu secara sembunyi-sembunyi, sekarang sudah terang-terangan dan berani mencabar pihak berkuasa agama dalam negara.
  2. Islam liberal; golongan ini juga semakin melebar pengaruhnya terutama di kalangan orang-orang terpelajar.
  3. Ajaran sesat; tidak pernah habis isu ajaran sesat di Malaysia. Belum sempat selesai ditangani satu ajaran sesat, timbul pula ajaran yang lain pula.
  4. Khurafat; semakin berleluasa dengan semakin banyak cerita-cerita hantu dan karut-marut di telivisyen, ditambah pula dengan ramai golongan ustaz yang turut sama terjun dalam kancah mistik.
  5. Murtad; telah diakui oleh pihak berkuasa agama bahawa 686 permohonan murtad dan 135 darinya telah disahkan.
Kita telah menegaskan tadi bahawa aqidah dalam Islam ialah keyakinan yang bertunjangkan ilmu yang soheh yang datang dari sumber ilmu yang muktamad bagi agama iaitulah wahyu dan didokong oleh aqal yang benar. Kegagalan mendapat ilmu yang soheh itulah yang menjadi punca kecelaruan aqidah. Orang-orang yang berjaya dipengaruhi oleh fahaman-fahaman sesat di atas mereka terhijab dari ilmu yang soheh kerana itu kepercayaan mereka telah dipalingkan dari kepercayaan yang bersumberkan ilmu yang soheh kepada kepada kepercayaan yang berteraskan waham atau sangkaan mereka.
Kita tidak akan berupaya membetulkan mereka selagi kita tidak boleh meyakinkan mereka bahawa ilmu yang ada pada mereka tidak benar dari dari itu timbul keyakinan yang tidak benar dalam hati sanubari mereka. Aqidah tidak boleh diubah dengan paksaan. Ia hanya boleh diubah dengan mengubah keyakinan dan keyakinan hanya boleh diubah dengan mengubah ilmu yang menjadi sumber keyakinan tersebut. Inilah cabaran yang perlu kita tempuhi hari ini.
Wallahu a’lam.

BACAAN AYAT AL-QURAN UNTUK SIMATI DIBOLEHKAN DALAM ISLAM


Ahli sunnah wal-jamaah bersependapat bahawa orang-orang yang telah mati, mendapat manfaat dari doa-doa dan sedekah orang hidup untuk mereka.
Imam murtadho al-zabidi menyatakan dalam kitab syarah ihya’ dengan katanya : Berkata imam al-suyuthi dalam kitab syarhus-sudur “dan adapun bacaan Al-Quran atas kubur maka sahabat-sahabat kita telah pun memutuskan pensyariatannya”. Al-Za’farani pula berkata “ Aku sendiri telah menanyakan imam syafi’e tentang membaca Al-Quran di tepi kubur lalu beliau menjawab yang demikian itu tidak mengapa.
Kata imam Al-Nawawi dalam kitab syarhul muhazzab : Disunatkan bagi penziarah kubur membaca apa yang mudah daripada ayat Al-Quran dan mendoakan untuk mereka sesudahnya, ini telah di naskan oleh Imam Syafi’e dan juga telah dipersetujui oleh sahabat-sahabatnya. Dalam tajuk lain Imam Nawawi menambah percakapannya dengan mengatakan “jika mereka dapat khatamkan Al-Quran atas kubur adalah lebih af-dhol” -habis .
Salah seorang guru kepada Al-Hafiz Ibnu Hajar iaitu yang masyhur dengan gelaran Ibnu Qatthon telah ditanya kepada beliau soalan iaitu : Adakah sampai pahala bacaan Al-Quran itu pada simati ataupun tidak? . lalu soalan itu dijawabnya dalam satu risalah bernama al-qaulu bil ihsan al-amim fil intifa’e al-mayyiti bil quran al-azhim dengan panjang lebar, ringkasan daripada jawapannya adalah:
Khilaf di kalangan ulama’ tentang pahala bacaan untuk simati , sebahagian mereka berpendapat bahawa pahalanya itu tidak sampai kepada simati dan ini adalah masyhur pendapat mazhab syafie dan malik, dan sebahagian lain pula dari kalangan ulama’ berpendapat bahawa pahala sampai kepada mereka dan ini adalah pendirian imam ahmad selepas dia mengeluarkan kenyataan sebelum itu iaitu membaca Al-Quran atas kubur adalah bid’ah, tapi bahkan setelah itu di nuqilkan dari kenyataannya yang mengatakan bahawa sampai pahala kepada simati apa sahaja dari amalan sedekah , solat , haji , puasa , iktikaf , bacaan Al-Quran , zikir dan sebagainya, dan di nuqilkan juga dari Imam Syafie bahawa mayat mendapat manfaat dengan bacaan Al-Quran atas kuburnya.
Pendapat al-qadhi Abi al-Thoiyyib pula bahawa pahala pembaca Al-Quran di kuburan dan mayat adalah seperti orang yang hadir [yakni sebagaimana para hadirin mendapat rahmat dan berkat kerana hadir mendengar bacaan dari qori Al-Quran samalah juga halnya mayat yang dibacakan disampingnya Al-Quran] maka diharapkan baginya rahmat dan keberkatan. Abdul karim al-syalusi berkata: “pembaca Al-Quran jika dia meniatkan bacaannya agar pahala itu dihadiahkan kepada simati maka ianya tak akan sampai jika niatnya itu di pasang sebelum melakukan ibadah tersebut, kerana bacaan Al-Quran adalah di katagorikan dalam ibadah badan maka tidak jatuh pada selainnya, tetapi jika dia membaca Al-Quran terlebih dahulu kemudian dia menghadiahkan pahala bacaan itu pada simati maka itu dikira sampai dan memberi manfaat padanya.
Wallahu a’lam wa ahkam…

BENTUK PERIBADI ISLAM MELALUI TADARUS AL-QURAN


Di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, Islam menganjurkan umatnya agar bertadarus membaca al-Quran. Ia berdasarkan kepada apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dengan Jibril berdasarkan sebuah hadis yang maksudnya:
Daripada Ibn Abbas r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat pemurah. Baginda sangat pemurah khususnya dalam bulan Ramadhan ketika Jibril menemuinya. Jibril menemuinya pada setiap malam dalam bulan Ramadhan lalu bertadarus al-Quran dengan baginda.” (Hadis riwayat Bukhari).
Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
“Tidak berhimpun sesuatu kaum dalam sebuah rumah dari rumah-rumah Allah – mereka membaca kitab Allah dan bertadarus di antara mereka – melainkan turun kepada mereka ketenangan, diliputi dengan limpahan rahmat, dilingkungi oleh para malaikat dan dipuji oleh Allah Taala dalam kalangan (malaikat) yang ada disisinya.” (Hadis riwayat Abi Daud).
Menurut Mohd Shamsul Haqqil ‘Azim, penulis kitab Aunul Ma’bud, maksud tadarus dalam hadis di atas ialah berkongsi membaca al-Quran di antara satu sama lain.
Jelasnya, tadarus al-Quran adalah merupakan syiar yang diamalkan semenjak zaman awal Islam. Hasil daripada syiar inilah terbentuknya keperibadian Islam yang sebenarnya. Antara ciri-ciri keperibadian Islam adalah mempunyai akidah yang benar, ibadat yang betul, akhlak yang mulia, teratur dalam setiap urusannya, disiplin menggunakan waktu dan bermanfaat kepada orang lain.
Justeru, seseorang yang mempunyai keperibadian Islam tidak akan meninggalkan syiar tadarus ini. Ia adalah merupakan amalan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat bahkan diberikan kelebihan yang banyak oleh Allah SWT. Ketenangan dan limpahan rahmat daripada Allah hasil daripada tadarus ini menjadikan seseorang itu mempunyai keperibadian yang istimewa dan tersendiri berbanding dengan mereka yang tidak bertadarus.
Dengan bertadarus, seseorang akan lebih rapat dengan al-Quran. Ia menjadi temannya yang akrab, menunjukkan jalan yang lurus dan menegurnya jika melakukan kesalahan. Generasi para sabahat r.a. lahir daripada keakraban ini. Bermula dengan keruntuhan akhlak dan moral sehingga digelar hidup dalam masyarakat jahiliyyah akhirnya menjadi peribadi insan yang mulia yang digelar sebagai generasi al-Quran yang unik.
Pun begitu, bertadarus tanpa beramal dengan isi kandungan al-Quran merupakan satu penyakit yang wujud di kalangan umat Islam yang merosakkan keperibadian muslim. Mereka tidak menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan.
Firman Allah yang maksudnya: Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku Sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan Yang ditinggalkan, tidak dipakai”. (Al-Furqan: 30).
Sebagai contoh kesan daripada bertadarus al-Quran sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam surah al-Jumuah ayat 2 yang bermaksud: “Dialah yang mengutus seorang rasul kepada kaum yang buta huruf dari kalangan mereka sendiri,yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya,menyucikan ( jiwa ) mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah ( sunnah ),meskipun sebelumnya,mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”
Ayat ini menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. dalam keadaan ummi iaitu tidak tahu membaca dan menulis akhirnya apabila alQuran diturunkan nabi membaca dan mengajar kepada sahabat-sahabatnya maka kesan daripada tindakan itu lahir satu generasi seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Bin Affan, Ali bin Abi Talib dan AbdurRahman bin Auf. Walaupun mereka itu pada zaman jahiliyah tergolong dalam golongan yang sesat.
Oleh kerana itulah tadarus al-Quran merupakan satu amalan yang dituntut untuk diamalkan oleh seluruh umat Islam khususnya para pendokong pejuang Islam supaya memahami tuntutan Islam itu melalui al-Quran itu sendiri.

AMALAN KESUKAAN NABI MUHAMMAD S.A.W DI BULAN RAMADHAN


AMALAN yang menghidupkan Ramadan ialah memperbanyakkan sedekah kerana sikap bermurah hati pada Ramadan adalah dituntut. Ibn Abbas melaporkan: “Rasulullah adalah orang yang paling dermawan dan beliau lebih dermawan lagi pada Ramadan ketika Jibril menemuinya lalu membacakan padanya al-Quran.” (Hadis riwayat Bukhari)
Membaca al-Quran
Disunatkan memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadan kerana ia bulan al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud: “… bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Malaikat Jibril sentiasa bertadarus al-Quran dengan Nabi SAW setiap hari sepanjang Ramadan. Para salaf mendahulukan bacaan al-Quran daripada ibadah lain. Sebahagian salaf khatam al-Quran dalam masa tiga hari, sebahagiannya tujuh hari dan 10 hari pada Ramadan.
Saidina Uthman bin Affan khatam al-Quran setiap hari pada Ramadan. Imam Zuhri berkata apabila tiba Ramadan, “Sesungguhnya Ramadan itu bulan membaca al-Quran dan menyediakan makanan untuk orang berpuasa.”
Memberikan makan kepada orang yang berbuka puasa.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memberikan makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya seperti pahala (orang yang berpuasa) dalam keadaan tidak berkurung sedikitpun dari pahala orang yang berpuasa itu.” (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibn Majah dan ad-Darimi)
Qiamullail
Disunatkan berjaga malam secara berjemaah pada bulan Ramadan iaitu solat terawih dan waktunya di antara solat Isyak hinggalah terbitnya fajar. Nabi sangat gemar mendirikan malam pada bulan Ramadan.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa menghidupkan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan pahala daripada Allah Taala, maka akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Solat tarawih
Solat tarawih adalah solat khusus yang hanya dilakukan pada Ramadan. Solat tarawih, walaupun dapat dilaksanakan bersendirian, umumnya dilakukan secara berjemaah di masjid. Di sesetengah tempat, sebelum solat tarawih, diadakan ceramah singkat bagi menasihati jemaah.
Mengerjakan umrah
Perkara disunatkan pada Ramadan adalah mengerjakan umrah berdasarkan sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Umrah pada Ramadan (pahalanya) sama dengan (pahala) mengerjakan haji atau mengerjakan haji bersamaku.” (Hadis riwayat Bukhari)
Zakat fitrah
Zakat fitrah dikeluarkan khusus pada Ramadan atau paling lambat sebelum selesainya solat sunat hari raya. Setiap Individu Muslim yang berkemampuan wajib membayar zakat fitrah. Nilai zakat fitrah adalah satu gantang makanan ruji atau setara dengan 2.7 kilogram beras. Di Malaysia, nilai zakat fitrah ditentukan oleh pihak berkuasa agama negeri.

What do we learned in Kindergarden

ouh please don't laugh when i made this statement , yes it is funny but this is the fact what did we learned in kindergarden .
These are the things we learned:
  • Share everything.
  • Play fair.
  • Don't hit people.
  • Put things back where you found them.
  • Clean up your own mess.
  • Don't take things that aren't yours.
  • Say you're sorry when you hurt somebody.
  • Wash your hands before you eat.
  • Flush.
  • Warm cookies and cold milk are good for you.
  • Live a balanced life - learn some and think some and draw and paint and sing and dance and play and work every day some.
  • Take a nap every afternoon.
  • When you go out in the world, watch out for traffic, hold hands and stick together.
  • Be aware of wonder. Remember the little seed in the Styrofoam cup: the roots go down and the plant goes up and nobody really knows how or why, but we are all like that.
  • Goldfish and hamsters and white mice and even the little seed in the Styrofoam cup - they all die. So do we.
  • And then remember the Dick-and-Jane books and the first word you learned - the biggest word of all - LOOK.
Take any one of those items and extrapolate it into sophisticated adult terms and apply it to your family life or your work or government or your world and it holds true and clear and firm. Think what a better world it would be if we all - the whole world - had cookies and milk at about 3 o'clock in the afternoon and then lay down with our blankies for a nap. Or if all governments had as a basic policy to always put things back where they found them and to clean up their own mess.And it is still true, no matter how old you are, when you go out in the world, it is best to hold hands and stick together.

see this is the fact what we learned at kindergarden , im here just to remind you guys about the good things we've learned .

posted by Aisya Syaheera ,