Menurut Ustaz Haji Haslin Baharim, yang juga seorang penceramah bebas, bertudung pada asalnya adalah cara bagi seorang wanita muslimah untuk menutup aurat. Namun kini agak mengecewakan bila pada masa yang sama, mereka tidak menutup aurat yang sepatutnya. Tidak dapat dinafikan, sekarang ini ciri-ciri menutup aurat sudah tidak ada.
Sebaliknya wanita bertudung kerana ingin mengikut fesyen. Malah kita boleh nampak ada antara wanita muslimah yang memakai tudung tetapi masih nampak telinga. Sudahlah begitu, ada pula subang untuk nampak lebih bergaya. Bukan itu sahaja, tudung pula sudah semakin pendek dan tidak menutup dada. Adakah ini cara memakai tudung yang betul? Sudah tentu tidak!
Menurut Ustaz Haslin lagi, wanita perlu sedar bahawa tujuan mereka bertudung bukan kerana mengikut aliran fesyen tetapi untuk memenuhi tuntutan syariat. Sepatutnya setiap perbuatan atau amalan seseorang itu berdasarkan pada niat masing-masing. Jika seseorang itu bertudung atas alasan dan niat untuk mengambil hati orang lain dan bukannya kerana Allah SWT, sudah pasti mereka tidak mendapat keberkatan menjalankan suruhan Allah.
Jadikan pemakaian tudung itu sebagai fesyen pakaian Islam, jangan jadikan ia sebagai fesyen disebabkan orang lain pakai, kita pun tidak mahu ketinggalan. Jika mengenakan tudung, pastikan ciri-ciri menutup aurat seperti tidak menampakkan telinga, leher dan menutup paras dada.
“Apabila industri fesyen berkembang dengan memperkenalkan pelbagai tudung baru yang menarik, perkara ini sebenarnya tidak boleh dianggap negatif semata-mata. Memang sekarang ini banyak fesyen tudung krana mereka yang bergiat dalam industri fesyen sudah pasti tahu mencari untung dengan menjual barang yang menjadi kesukaan ramai. Saya berterima kasih dengan industri fesyen kerana memperkenalkan tudung sebagai salah satu cara untuk bergaya.”
“Penyampaian dan gaya kreatif industri fesyen dalam menjual tudung itu sebenarnya amat baik. Tidak kiralah apa cara mereka lakukan, niat sebenar mereka adalah untuk menarik minat wanita untuk bertudung. Jika ada wanita yang bertudung kerana fesyen itu meranrik, maka tidak salah mereka mula mengambil keputusan untuk bertudung. Mungkin daripada mengikut-ikut, akhirnya seseorang wanita itu sudah pasti akan berubah sepenuhnya.”
“Jika ini berlaku, secara tidak langsung industri fesyen juga telah melakukan kebaikan kerana telah menarik minat wanita yang tidak bertudung akhirnya menutup aurat seperti yang digalakkan dalam Islam,”
No comments:
Post a Comment